Tips Penyusuan Susu Ibu di bulan Ramadhan

Salam dan selamat pagi Ahad :)

Pagi2 lagi PU bangun terus buat kemas rumah apa yang patut. Auni pun dah tido. Aina sibuk bermain. So, sementara tengah free nih PU nak post entry pasal penyusuan susu ibu nih. Kebetulan PU pun menyusukan Auni..Full breastfeed tau...Bila nak dekat puasa nih memang PU risau sebab takut air susu takde. Yelah dari subuh sampai dekat Maghrib kita puasa langsung tak makan apa-apa macam mana air susu nak dihasilkan. Kesian lak Auni air susu tak cukup. Dah la dia kuat menyusu.

Tapi kerisauan PU tuh dah ilang lepas baca satu artikel kat dalam majalah Nur. So, PU nak share lagi untuk ibu2 kat luar sana tips penyusuan susu ibu di bulan Ramadhan.

Mengikut mazhab Imam Syafie, wanita yang mengandung atau yang menyusu boleh berbuka puasa mengikut dua hukum iaitu BERBUKA KERANA BIMBANG KESIHATAN DIRINYA TERJEJAS atau BERBUKA KERANA BIMBANG KESIHATAN ANAKNYA.

Sekiranya si ibu berbuka puasa kerana takut berlaku kemudaratan pada dirinya disebabkan puasanya itu, maka wajib bagi si ibu untuk qada puasanya shj sebelum tiba bulan Ramadhan yang akan datang.

Namun, jika si ibu yakin dengan berpuasa tidak memudaratkan dirinya maka diharuskan puasa. Bagi ibu yang bekerjaya yang menyusukan bayinya perlu mengambil inisiatif mendalami ilmu agar dapat menunaikan ibadat berpuasa sekaligus menyempurnakan hak kepada anak iaitu memberikan makanan dan zat sepatutnya.

Cabaran di bulan Ramadhan

Pengeluaran susu akan berkurangan. Memang tidak dinafikan setelah memasuki fasa puasa, susu ibu secara automatik berkurangan sama ada payu dara tidak membengkak seperti biasa atau jumlah susu yang dipam juga semakin sedikit.

Puting payu dara jadi merekah

Sesetengah wanita mengalami masalah puting payu dara merekah kerana tidak mempunyai air yang cukup di dalam badan.

Cepat Lapar

Sebagai ibu yang menyusukan anak, perasaan cepat lapar sentiasa menyelubungi membuatkan kita merasa tidak betah dan cepat penat.
Masalah2 ini boleh di atasi dengan beberapa tips.

Tips Penyusuan Susu Ibu

  1. Penting mengambil makanan yang mencukupi dan seimbang sama ada pada waktu berbuka puasa dan juga sahur.
  2. Banyakkan minum susu dan soya. Bersahur pada lewat waktu menghampiri Subuh.
  3. Biasanya kita kurang berselera makan ketika sahur namun gagahkan diri kita untuk makan bagi mendapatkan khasiat secukupnya untuk berpuasa sepanjang hari.
  4. Lebih kerap mengepam dan menyusui bayi.
  5. Sediakan stok untuk bulan puasa dari awal sekurang-kurangnya dua minggu sebelum menjelangnya bulan puasa.
  6. Banyakkan minum air sekurang-kurangnya tiga liter ketika berbuka puasa dan bersahur.
  7. Banyakkan pengambilan protein dengan mengambil minuman yang kaya dengan protein, ini mampu menambahkan susu badan.
  8. Tidak dinafikan dengam mengambil susu, kurma dan jus kurma mampu memberikan tenaga untuk kita berpuasa. Kandungan khasiat di dalam buah kurma amat tinggi dan dapat membantu kita menyusu.
  9. Berbuka puasa dan bersahur dengan makanan yang tinggi protein, glukos dan cecair.
  10. Antara makanan yang popular untuk tambahkan susu ialah soya, longan kering, barli, kucai, pegaga, pucuk betik, jantung pisang dan halba.
  11. Sepanjang waktu malam (iaitu ketika kita boleh makan dan minum) susukanlah bayi kita semaksimum yang mungkin. Ini dapat mengurangkan permintaannya terhadap susu ibu di siang hari.
  12. Makan makanan berkhasiat serta amalkan sunnah nabi iaitu buah kurma.
  13. Jika perlu, ambil vitamin dan makanan tambahan untuk sepanjang bulan puasa untuk memastikan badan kita mempunyai tenaga secukupnya untuk menjalani ibadah puasa serta meneruskan tanggungjawab sebagai ibu.
  14. Elakkan minum ais kerana ia boleh mengurangkan lagi produksi susu anda.
  15. Setiap kali waktu sahur, makan 7 biji kurma. Untuk setiap sebiji yang dimakan, selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan niat dalam hati makan kurma untuk kekalkan penghasilan susu.
  16. Makan makanan lambat dihadam seperti nasi dan oat sewaktu bersahur. Dengan ini kita takkan berasa lapar dengan cepat. Elakkan juga dari mengambil makanan yang mudah dihadam dan menyebabkan kita cepat lapar seperti mi dan roti.
  17. Elakkan diri terlalu penat yang hanya akan mengganggu emosi kita sehingga mengurang penghasilan susu badan.
  18. Walaupun sibuk di pejabat, tidak bermakna kita perlu stress buat kerja dengan cermat mampu meminimakan kesilapan dengan ini kita lebih ceria sentiasa.
  19. Gunakan waktu rehat secukupnya dengan melakukan ibadah dan berehat.
  20. Mungkin agak sukar tidur siang seketika namun kita boleh lakukannya ketika waktu rehat spt sabda Rasulullah SAW "Lakukanlah qailulah (tidur sebentar di siang hari) kerana sesungguhnya syaitan itu tidak berani qailulah" Riwayat al-Tabrani
  21. Banyakkan berdoa semoga dipermudahkan segala urusan.
  22. Selalu ingat pada anak akan membuatkan kita lebih fokus untuk mendapatkan banyak susu.
  23. Perbaharui niat untuk menyusui anak kerana ALLAH Taala.
  24. Apabila hampir waktu imsak, bacalah ayat Al-Kauthar dan minumlah seteguk air kosong sambil berdoa agar dikurangkan dahaga sepanjang berpuasa.(Lazimya ibu yang menyusukan anak akan berasa dahaga selepas menyusukan bayi)
  25. Kerapkan pengepaman pada waktu malam selepas berbuka jika khuatir tidak larat untuk meneruskan puasa jika mengepam pada siang hari.
  26. Sediakan kurma dan botol air di dalam beg tangan. Mungkin kita akan mengalami kesesakan jalan raya jadi terpaksa berbuka di dalam kenderaan. Setibanya di rumah, Pastikan kita berbuka puasa dahulu sebelum menyusu bayi kita.
  27. Susu perahan akan tahan satu hingga dua hari jika disimpan di dalam peti sejuk.
  28. Dua minggu jika disimpan di ruang sejuk beku di dalam peti sejuk. Tiga bulan jika disimpan di dalam peti sejuk beku dengan pintu berasingan drp peti sejuk. Enam hingga 12 bulan jika disimpan di dalam tempat sejuk beku yang berasingan.
  29. Perahan susu mesti disimpan dalam botol yang bersih dan ditanda tarikh perahan supaya perahan susu terawal digunakan terlebih dahulu.
  30. Perahan susu yang dibekukan perlu dicairkan dengan merendam botolnya di dalam air suam (bukan mendidih) sebelum diberikan kepada bayi.
  31. Jangan sesekali menggunakan ketuhar gelombang untuk mencairkan susu yang beku. Perahan susu ibu yang sudah dikeluarkan daripada peti sejuk dan dipanaskan perlu dibuang jika tidak diminum dalam masa satu jam.

Post a Comment

0 Comments